Andai Temanku Tahu....






Teman,

Kalian masih ingat lagi saat kita begitu rapat?  Dimana ada aku, ada kalian disampingku. Tiba waktu lapang jadual kita sudah dipenuhi dengan agenda-agenda yang bakal memenuhi ruang waktu. Kita bersuka ria, bersiar-siar, hindarkan diri dari kekusutan dan tekanan. Dunia kita sangat ceria. Kita boleh pakai apa yang kita suka. Semua kehendak hati pasti dituruti dangan rela.

 Hujung minggu kita bersiar dengan pasangan masing-masing. Habiskan waktu bersama hingga dunia ini bagai kita yang punya. Bersama pasanganku dan kalian buat hidupku cukup hebat dan warna warni. Setiap musibah dan masalah datang menimpaku kalian selalu ada.

Teman,

Kadang apabila sibuk bergembira kita lengah dengan seruanNya. Bahkan terkadang kalian sengaja meninggalkannya. Seolah tiada tuhan yang memerhatikan setiap gerak langkah kita. Semakin hari perjalanan hidup kita semakin hanyut dengan keseronokan.  Tanpa sedar hati dan jiwa kita tersangkut dalam alpa. Kita lupa kita ini hamba kepada Dia. Sengaja melupakan misi sebenar hidup kita.

Hati kita hampir mati. Apabila disebut tentang kematian, kita takut mendengarnya kerana kita tahu kita tidak bersedia untuk itu. Pada kita “ Hidup ni hanya sekali, jadi mari nikmati.”

Masih ingat lagi?  keputusan peperiksaan kita memang “gempak”, kita buat ramai orang bangga dengan persahabatan kita. Kita rasa hidup dengan menjadi orang terpelajar dan banyak harta sudah memadai.

Teman,

Dalam keseronokan ditengah-tengah kalian  aku merasa kekosongan. Aku perlukan sesuatu yang mengisi jiwaku. Sehingga suatu hari aku mulai menghadiri majlis yang buat aku dekat dengan penciptaku dan pencipta kalian. Orang panggil majlis itu halaqah. Jiwaku sangat terisi sepanjang dalam bulatan itu. Mereka meyambut kehadiranku dengan sangat baik. Wajah dan senyuman mereka buat aku senang. Kata-kata mereka sering buat hatiku tersentuh.

Pertama kali dalam hidupku, aku memegang dan membuka kembali lembaran al-Quran yang suatu masa dahulu aku pernah tinggalkan. Saat mula membacanya bibirku terketar-ketar, jantungku berdegup laju,  tangisku tidak dapat dibendung lagi.  Aku tergagap-gagap mengejanya.  Aku merasa sangat rugi kerana tidak menjadikannya sebagai teman hidupku. Sesungguhnya mereka sangat sabar mengajarku.

Teman ,

Pasti kalian tertanya-tanya sejak bila aku mula berubah. Aku pada mulanya malu untuk mengajak kalian kerana aku tahu aku belum kuat lagi menerima reaksi kalian. Sedikit demi sedikit aku berubah. Aku tahu kalian pasti sangat merasai perubahanku.  Pakaianku berubah menjadi longgar.  Tudungku tidak jarang lagi. Kaki aku tutupinya dengan stoking. Aku juga meninggalkan kekasihku. Kita masih berteman cumanya aku tidak lagi mengikut setiap kali agenda kalian pada waktu lapang mahupun hujung minggu.

Masih aku ingat, saat kalian mengatakan bahawa aku semakin jauh dari kalian. Saat aku memberi alasan untuk mengelak dari keluar bersama kalian. Kalian mengatakan aku cuma mahu berkawan dengan orang yang bertudung labuh sahaja. Bukan ! sekali lagi bukan ! aku sebenarnya takut, takut aku tidak kuat melawan nafsu mudaku yang ingin berseronok.

Teman,

Mungkin kalian merasa aku bodoh menolak lelaki yang kalian rasa dia sangat ikhlas menjadi kekasihku. Mungkin kalian merasa aku kolot dengan pakaianku tidak mengikut peredaran masa. Mungkin juga kalian merasa aku ini langsung tidak menghargai persahabatan kita. Tidak ! kalian memang salah !

Sebenarnya aku tidak mahu jadi orang yang bodoh bercinta dengan lelaki yang belum lagi halal untukku. Biarlah pakaianku nampak kolot, tapi aku tidak mahu kolot dalam beragama. Andai kalian tahu aku sangat mengahargai persahabatan ini makanya aku terus menasihati kalian agar kembali kepada fitrah semula kejadian kita. Semuanya kerana aku sayang kalian.

Teman,

Andai sahaja kalian tahu,

Aku sangat berharap untuk ke syurgaNya bersama kalian..
Sungguh aku dalam sedih yang amat sangat apabila terbaca kalam yang sangat tidak meragukan ini.

" Teman-teman karib pada hari itu (kiamat) saling bermusuhan satu sama lain kecuali mereka yang bertakwa." (43:67)

" Sungguh, hari keputusan ( hari kiamat) adalah waktu yang dijanjikan bagi mereka semuanya, (iaitu) pada hari (ketika) seorang teman sama sekali tidak dapat memberi manfaat kepada teman lainnya, dan mereka tidak akan mendapat pertolongan, kecuali orang yang diberi rahmat Allah. Sungguh dia Maha Perkasa,Maha Penyayang."(44: 40-42)

Aku sama sekali tidak mahu berpisah dengan kalian dengan cara seperti ini. Kerana itu apabila kalian tidak menerima bait kataku tidak dapat menahan sebak. Alangkah indahnya jika kita dapat berpimpin tangan menuju redhaNya.  Lagi indah, jika kita berpimpin tangan menuju ke syurgaNya.

Janganlah kalian membenciku. Jangan pula  kalian menghalangiku. Janganlah kalian memulauku..

TEMAN,

ANDAI KALIAN TAHU, tiada lain yang aku harapkan.. aku buat semua ini cuma kerana aku SAYANG KALIAN KERANA ALLAH 

Comments

  1. Terima kasih sahabat :) Inilah yang akak rasa tika ini. Saat ingin berhijrah.. Ada saja kata2 kurang enak yang terkeluar dari mulut2.. Harap kita dapat sama2 bertemu di syurga ya sahabat :)

    ReplyDelete
  2. Hazlina Zulkifli :

    perkara seperti itu biasa... apalah sgt y nk dirisaukan dgn kata2 mereka dr kata2 Allah. mereka bukan siapa2 =) insyaAllah, moga bertemu dsana....

    boleh jg bertemu d fb jk mahu : Zai Nyu

    ReplyDelete

Post a Comment